Jurulatih Syria, Hector Cuper membuat kejutan dengan tidak menyenaraikan penyerang berbisa mereka, Omar Al Somah dalam skuad Piala Asia 2023.
Keputusan mengejut ini diketahui penyokong Helang Qasioun selepas Persatuan Bola Sepak Syria (SFA) mengumumkan senarai pemain yang menyertai kem kebangsaan.
Ramai penyokong tidak percaya dengan keputusan yang dibuat Cuper memandangkan Al Somah merupakan peledak berbisa pasukan itu.
Sejak dipanggil menyertai Helang Qasioun pada 2012, beliau sudah meledakkan 20 gol dalam 31 perlawanan.
Malah, Al Somah juga turut diberi kepercayaan oleh jurulatih Argentina itu sebagai kapten dalam beberapa perlawanan terakhir Syria termasuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada November lalu.
Di media sosial terutama di Instagram, ramai tidak berpuas hati dengan tindakan Cuper. Salah seorang daripadanya ialah pengguna Instagram menggunakan nama a_somah_fso9.
Dia mempersoal tindakan Cuper menggugurkan penyerang kelab Al-Arabi itu. “Apa sebab bintang dan legenda bola sepak negara kita digugurkan?” soalnya.
Syria dijadualkan bertemu dengan Malaysia untuk aksi persahabatan kedua pada 8 Januari 2024. Setelah itu, mereka memulakan kempen Piala Asia 2023 menentang Uzbekistan dalam Kumpulan B pada 13 Januari.
Perlawanan Syria-Malaysia juga memberi peluang kepada peminat bola sepak negara untuk melihat kelibat Jalil Elias buat kali pertama.