Pengendali Thailand, Anthony Hudson mengakui gerun melihat kualiti yang dimiliki Malaysia menjelang aksi ketiga Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup.
Selepas dua perlawanan kumpulan, bekas jurulatih BG Pathum United itu mengenal pasti empat pemain yang berpotensi memberi kesukaran kepada anak buahnya.
Meskipun Hudson tidak menyebut nama mereka, beliau jelas memilih kapten negara, Paulo Josue, Ubaidullah Shamsul Fazili, G. Pavithran dan Mohamadou Sumareh sebagai ancaman utama Thailand.
Atas sebab itu, Hudson melihat Thailand harus menampilkan aksi terbaik di Stadium Rajamangala jika mahu meraih keputusan positif.
“Malaysia memiliki dua atau tiga pemain yang memiliki kualiti tinggi. Penyerang mereka (Paulo Josue) cukup merbahaya, bek tengah sebelah kiri (Ubaidullah) cukup selesa dari segi penguasaan bola.
“Dua pemain sayap mereka (Pavithran) dan Sumareh juga kuat dan pantas. Mereka memiliki gaya permainan yang bagus dan bersesuaian dengan kualiti pemain-pemain mereka.
“Kita cukup menghormati mereka dan kita telah membuat persediaan rapi (untuk perlawanan ini),” katanya dalam sidang media praperlawanan.
Thailand berharap dapat meraih kemenangan kedua dalam Kumpulan B bila bertemu Harimau Malaya pada 1 Ogos ini.