Di sebalik kemenangan bergaya 4-0 Malaysia ke atas Laos dalam aksi Kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026, perhatian turut terarah kepada pemain muda, G. Pavithran, yang mula mencuri tumpuan apabila dilihat sebagai antara prospek hebat untuk masa depan bola sepak Malaysia.
Perkara itu disuarakan sendiri oleh jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, ketika mengulas prestasi pemain muda Johor Darul Ta’zim (JDT), G. Pavithran, selepas diajukan soalan oleh pihak media pada sidang akhbar selepas perlawanan.
“Ya Pavithran ada potensi yang baik untuk masa depan. Tugas saya sebagai jurulatih adalah untuk berikan dia keyakinan, memberi galakan untuk lebih berani bergerak ke hadapan.
“Apa saja arahan yang diberikan kepada dia telah berjaya disempurnakan dengan baik. Diharapkan dia dapat teruskan beraksi dengan baik dan bertambah baik. Yang paling penting, dia kena percaya pada kemampuan diri sendiri,” jelas Cheng Hoe kepada media dalam sesi sidang media selepas perlawanan bertemu Laos.
Pada aksi menentang Laos, Pavithran muncul antara watak penting kemenangan Malaysia apabila mencipta dua bantuan gol buat Paulo Josue dan Endrick dos Santos. Selain itu, kelincahan serta lariannya di bahagian sayap kiri sentiasa mengundang ancaman dan memberi masalah kepada barisan pertahanan Laos.
Sudah tentu khidmat Pavithran sekali lagi akan menjadi sandaran Harimau Malaya apabila skuad negara berdepan ujian getir menentang Thailand di gelanggang lawan pada 1 Ogos ini. Ketika ini, Malaysia memimpin carta Kumpulan B dengan kutipan enam mata hasil dua kemenangan berturut-turut.