Malaysia menerima habuan positif hasil kemenangan besar ke atas Laos dalam aksi kedua peringkat kumpulan B ASEAN Hyundai Cup 2026.
Kemenangan bergaya 4-0 dicatatkan skuad Harimau Malaya pada Selasa dengan Paulo Josue, Endrick Dos Santos dan Wan Kuzain melakar nama selaku penjaring selain gol sendiri pemain Laos juga menyumbang kepada kejayaan ini.
Hasil kemenangan ini, pasukan negara berjaya memperoleh 3 mata penting untuk melonjakkan kedudukan Malaysia dalam carta kumpulan B ASEAN Hyundai Cup dengan mengutip 6 mata maksimum selepas dua perlawanan awal.
Malaysia berjaya memintas Thailand buat seketika untuk berada di puncak kumpulan B setelah kemenangan di Cheras, tatkala skuad Gajah Perang ini turun ke tangga kedua selepas tidak beraksi pada hari perlawanan kedua kali ini.
Selain lonjakan dalam carta kumpulan, Malaysia juga menerima tambahan mata ranking hasil kejayaan membenam Laos, dengan kutipan +1.57 mata berjaya diraih sekali gus mengumpul sebanyak 1087.79 mata secara kiraan tidak rasmi.
Tambahan mata ini penting bagi memperbaiki kedudukan ranking Malaysia yang kini menghuni tangga ke-136 dunia, dan hasil kemenangan ini, jurang perbezaan mata bersama Filipina tampak mula berkurangan menjelang aksi kedua-dua negara nanti.
Tugasan seterusnya menanti Malaysia adalah berdepan Thailand dalam aksi ketiga kumpulan B pada Sabtu, 1 Ogos di Bangkok.