Advertisement
Jurulatih UAE Impi Layak Ke Piala Asia B-17
Asia
MakanBola
UAE Football NT

Pengendali skuad Emiriah Arab Bersatu (UAE) Bawah 17 Tahun (B-17), Majid Salem Al-Zaabi mahu membawa pasukan itu layak ke Piala Asia B-17 2025.

Hajat itu dizahirkan beliau untuk menebus kekecewaan pasukan itu selepas terlepas peluang layak ke Piala Asia B-17 2023.

UAE berada dalam Kumpulan H bersama tuan rumah, Laos dan Malaysia. Manakala Lubnan pula terpaksa menarik diri disebabkan tindakan Israel menceroboh negara itu pada penghujung September lalu.

Meskipun cabaran memburu kelayakan slot automatik Piala Asia B-17 2025 kini berkisar kepada tiga pasukan, Majid mengimpikan kemenangan ke atas Malaysia dalam aksi pertama kumpulan.

Ini kerana hanya kemenangan yang membuka jalan kepada UAE untuk layak ke kejohanan itu pada tahun hadapan.

“Perlawanan esok (hari ini) cukup penting. Persediaan kita bagus, moral (pasukan) pada tahap tertinggi dan para pemain sedar tentang tanggungjawab mereka.

“Kita tidak sabar untuk mendapatkan keputusan yang kita perlukan untuk membantu kita separuh jalan mara ke slot kelayakan automatik. Kita menetapkan sasaran untuk layak ke Piala Asia B-17 2025,” katanya dalam satu kenyataan.

UAE berharap dapat layak ke Piala Asia B-17 buat kali kesembilan dalam sejarah kejohanan. UAE bakal menentang Malaysia di Stadium Nasional New Laos, Vientiane pada 23 Oktober.