Salah sebuah media Vietnam mula meragukan persiapan pasukan setelah tunduk 4-0 di tangan Malaysia.
Skuad kendalian Peter Cklamovski beraksi cemerlang di hadapan kira-kira 62,000 orang penyokong di Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi aksi kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027.
Prestasi yang ditampilkan oleh anak buah Kim Sang-sik menimbulkan tanda tanya selepas tidak mampu melawan pasukan kebangsaan dan didakwa hilang arah.
Salah sebuah media Vietnam iaitu Tuoi Tre News menyelar pasukan yang tidak mengadakan aksi persahabatan pada jendela aksi FIFA bulan Jun.
“Vietnam tidak beraksi pada mana-mana aksi persahabatan FIFA bulan Jun dan pasukan juga tidak akan beraksi pada September kerana Sang-sik bakal membawa pasukan B-23 ke Kelayakan Piala Asia B-23.
“Malaysia pula mengatur dua aksi persahabatan menentang Cape Verde. Thailand, Singapura dan Kemboja juga ada aksi persahabatan.
Bukan itu sahaja, ketiadaan penyerang tulen dalam kesebelasan utama skuad Bintang Pahlawan Emas menyebabkan pasukan tidak berupaya membolosi gawang gol Harimau Malaya.
“Ketiadaan penyerang utama menyukarkan Vietnam, apabila berdepan dengan pemain warisan baharu Malaysia,” ujar laman berita Vietnam itu.
Malaysia kini menduduki tangga teratas kumpulan dengan 6 mata dan memperoleh tambahan +13.99 mata berdasarkan kemas kini masa-nyata FIFA.