Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi melihat 11 pemain berkualiti persis Arif Aiman Hanapi mampu membantu skuad negara maju ke hadapan.
Nama pemain sayap Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) itu menjadi sebutan media antarabangsa selepas mempamerkan prestasi mantap di pentas Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Selepas menjaringkan dua gol semasa menentang Shanghai Port, Arif membantu Harimau Selatan mengalahkan Shanghai Shenhua 3-0 pada 1 Oktober lalu.
Arif, Jorge Obregon dan Juan Muniz mencipta nama sebagai penjaring dalam perlawanan tersebut. Rekod tiga golnya dalam ACLE turut menyaksikan Arif mendahului dua penyerang berbisa dari Saudi Pro League (SPL), Cristiano Ronaldo dan Aleksandar Mitrovic.
Atas sebab itu, Yusoff mahu pemain tempatan berusaha meningkatkan kualiti permainan mereka. Ini kerana usaha tersebut bukan saja baik untuk karier mereka.
Malah, ini akan menambah lebih banyak pilihan buat pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente dalam memilih kesebelasan utama pasukan itu.
“Dia (Arif Aiman) dah tunjukkan yang dia sudah menjadi taraf pemain luar negara. Kalau ada 11 Arif Aiman sudah tentu skuad negara tidak perlukan pemain asing contohnya.
“Namun, untuk sampai ke tahap tersebut, setiap pasukan haruslah menunjukkan yang mereka mampu bersaing,” katanya dalam Nadi Arena.
Terdahulu, Yusoff melihat kegagalan FAM membawa masuk Mats Deijl tidak akan mematahkan semangat badan induk itu untuk mencari lebih ramai pemain warisan Malaysia berkualiti di luar negara.