Biarpun terkandas di peringkat kumpulan Piala Asia 2023, namun rakyat Malaysia sudah pasti berbangga dengan persembahan yang ditampilkan Harimau Malaya sepanjang kejohanan berlangsung.
Penolong jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Pau Marti Vicente baru-baru ini telah membuat ciapan di laman X berkenaan prestasi Malaysia di Piala Asia.
Bagi Pau Marti, walaupun Malaysia gagal mara ke pusingan kalah mati, namun barisan pemain dan kejurulatihan sudah mencuba sehabis baik untuk membanggakan Malaysia.
“Tamat perjalanan Piala Asia. Kami tidak layak, tetapi kami cuba sedaya upaya untuk membanggakan seluruh Malaysia. Kami akan kembali. Terima kasih,” coret Pau Marti di laman X.
Untuk rekod, Malaysia sekadar menamatkan saingan Kumpulan E Piala Asia di tangga terakhir kumpulan dengan mengumpul satu mata.
Namun begitu, rakyat Malaysia pastinya tidak akan melupakan aksi terakhir kumpulan iaitu pertembungan Malaysia menentang Korea Selatan yang mana menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri 3-3.
Debaran perlawanan itu turut dirasai Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang menyenaraikan perlawanan Malaysia-Korea Selatan sebagai salah satu aksi terhebat untuk peringkat kumpulan Piala Asia.
Dengan penyingkiran Malaysia dari Piala Asia, fokus Malaysia kini beralih ke kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan aksi bertemu Oman pada 21 Mac ini bakal menjadi aksi seterusnya buat Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon.