“Kami Tak Akan Berhenti” – Tunku Ismail
MakanBola
Johor Southern Tigers

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor melihat Johor Darul Ta’zim (JDT) akan terus berusaha melakar kecemerlangan untuk tahun-tahun mendatang.

Perkara ini dizahirkan baginda apabila ditanya rahsia di sebalik kejayaan JDT sehingga menjadi antara kelab gergasi yang disegani di rantau Asia Tenggara.

Tunku Ismail menggariskan tiga faktor yang menyumbang kepada kejayaan pasukan itu. Tiga faktor itu ialah keberanian mengambil risiko, mendapatkan pengalaman bernilai apabila berjaya, dan memberikan pengajaran yang lebih banyak apabila tidak berjaya.

Baginda melihat tiga faktor ini membentuk mentaliti Harimau Selatan untuk sentiasa melangkaui batasan dan mencabar diri untuk pergi ke tahap yang lebih tinggi.

“Ini adalah sesuatu yang ada dalam mentaliti kami, yang saya terapkan di kelab ini untuk sentiasa melangkaui batasan dan mencabar diri untuk melihat sejauh mana kita mampu pergi dan berkembang,” katanya.

Tunku Ismail melihat mentaliti sama yang menjadi tulang belakang kejayaan JDT turut menyumbang kepada kejayaan wakil negeri Johor dalam arena sukan lain seperti permotoran, ragbi dan bola jaring.

“Apa yang kami lakukan, tempias kepada sukan-sukan lain di dalam negeri ini – permotoran, bola jaring, ragbi, kriket, berbasikal, dan tinju. Ianya bukan lagi berkaitan bola sepak sahaja.

“Ini adalah era baharu sukan di negeri Johor dan kami tidak akan berhenti. Kami akan terus melangkah ke hadapan dan mencapai lebih banyak lagi,” ujarnya.

Hal ini terbukti dengan kejayaan beberapa wakil Johor baru-baru ini. Misalnya, Johor Motorsports Racing (JMR) mengungguli kategori Pro-Am Perlumbaan Crowd Strike 24 Jam Spa.

Sukan ragbi pula menyaksikan pasukan Johor muncul juara Piala Agong 2026. Pasukan itu turut menamatkan kemarau trofi kejohanan itu sejak tahun 2017.