Sejarah baru dilakar pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) di Spa-Francorchamps, Belgium baru-baru ini.
Ini kerana apabila JMR mengungguli kategori Pro-Am Perlumbaan CrowdStrike 24 Jam Spa pada 28 Jun lalu, ini menjadikan mereka pasukan Malaysia pertama muncul juara dalam perlumbaan berkenaan.
Lebih menarik, ini kejayaan pertama JMR dalam penampilan ketiga mereka untuk perlumbaan tersebut. YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor menyifatkan kejayaan ini cukup bermakna.
Ini kerana kejayaan tersebut dicapai bersama adinda baginda, YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
“Saya amat gembira dan bersyukur dengan pencapaian bersejarah ini dalam perlumbaan GT3 terbesar di dunia. Jentera kami berfungsi amat baik sepanjang perlumbaan, malah sokongan yang kami terima daripada pihak General Motors (GM) sangat luar biasa.
“Seluruh pasukan telah mempamerkan prestasi yang sangat baik sepanjang minggu. Kita dapat merasai kesungguhan setiap ahli pasukan untuk mengejar kemenangan ini.
“Sebagai pemandu, kami terhad kepada aspek tertentu, segalanya bergantung kepada kerjasama seluruh pasukan. Alhamdulillah!” katanya dalam satu kenyataan yang dikongsikan The Royal Johor.
Tunku Abu Bakar turut senada dengan kekanda baginda. Baginda merasa bangga dengan usaha yang dicurahkan seluruh pasukan untuk meraih kemenangan tersebut.
“Ini suatu yang sukar dipercayai dapat merasa kemenangan dalam penampilan kedua saya di sini. Setiap jam sepanjang perlumbaan memang huru-hara. Rasanya macam menang seluruh kejohanan!
“Alhamdulillah, saya amat bangga dengan usaha yang dicurahkan oleh seluruh pasukan dalam mencapai kemenangan ini,” katanya.
Selain mengungguli kategori Pro-Am, jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R JMR turut menamatkan perlumbaan di tangga ke-29 keseluruhan. Selain Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar, jentera itu turut dipandu dua rakan sepasukan, Ben Green dan Jordan Love.
Pasukan High Class Racing yang diwakili Kerong Li, Anders Fjordbach, Bo Yuan dan Hongli Ye terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Pasukan GetSpeed Team PCX yang diwakili Patrick Charlaix, Jordan Boisson, Marvin Klein dan Benjamin Paque pula menduduki tempat ketiga.
Gelaran juara keseluruhan Perlumbaan CrowdStrike 24 Jam Spa digondol pasukan Lionspeed GP. Lionspeed GP yang diwakili Ricardo Feller, Thomas Preining dan Bastian Buus turut mengungguli kategori Pro-Cup.
Selepas ini, JMR mengalihkan fokus kepada Perlumbaan Suzuka 1000km dari 11 hingga 13 September ini. JMR berharap dapat mengulangi kejayaan bergelar juara pada edisi 2025.