Kapten Timor Leste, Joao Pedro dilaporkan bakal menyertai juara Piala Malaysia 2021, KL City FC pada musim hadapan.
Khabar angin perpindahan itu dikongsikan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi. The City Boys dilaporkan berminat mendapatkan khidmat Pedro untuk musim 2025/26.
“Difahamkan Kuala Lumpur City berminat untuk dapatkan khidmat kapten Timor Leste, Joao Pedro bagi hadapi saingan Liga Malaysia musim 2025/26,” katanya di X.
Nama Pedro bukan asing dengan saingan Liga Malaysia (Liga M). Ini kerana beliau pernah mewakili UiTM United.
Bakat pemain sayap berusia 26 tahun itu terserlah apabila beraksi menentang Harimau Malaya dalam saingan peringkat kumpulan ASEAN Championship 2024.
Pada satu ketika, Timor Leste mendahului 2-1 dengan Pedro mencetak nama sebagai penjaring. Walau bagaimanapun, Harimau Malaya bangkit bagi membolehkan mereka meraih kemenangan 3-2.
Khabar ini timbul tatkala beberapa pemain sayap KL City kini dalam radar beberapa kelab Liga Super. Pemain kebangsaan, Haqimi Azim Rosli dilaporkan berada dalam radar Johor Darul Ta’zim (JDT).
Tiga kelab Liga Super dilaporkan berminat mendapatkan seorang lagi pemain sayap The City Boys, J. Partiban.