Kay Tejan Mesin Gol Baharu Selangor
MakanBola
Selangor FC

Penyerang Belanda, Kay Tejan menjadi pemain import terbaru Selangor FC untuk menghadapi musim 2026/27.

Perpindahan penyerang berusia 29 tahun itu diumumkan pengurusan The Red Giants di semua platform rasmi pasukan itu. Tejan dibawa masuk bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain sayap Cape Verde, Alvin Fortes.

“Selangor FC dengan sukacitanya mengumumkan penyerang tengah berketurunan Belanda-Jamaica, Kay Tejan, sebagai pemain import kelima Gergasi Merah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan,” kata kelab dalam satu kenyataan.

Sebaik perpindahan itu diumumkan, bekas pemain SC Telstar itu mengakui teruja kerana dapat menyarung jersi Selangor. “Saya sangat gembira berada di sini. Saya rasa Selangor FC sebuah kelab yang sangat bagus dan besar.

“Saya juga telah berbual dengan baik bersama ketua jurulatih mengenai perancangannya, taktikal serta bagaimana beliau mahu menggunakan kelebihan yang saya ada. Saya lihat beliau merupakan seorang jurulatih yang sangat baik,” katanya.

Tejan pernah mewarnai saingan Eredivisie bersama SC Telstar, LKS Lodz (Ekstraklasa (divisyen utama Poland)), USL Dunkereque (Ligue 2) dan kelab Moldova, Sheriff Tiraspol.

Beliau pernah membantu Tiraspol muncul juara Moldovan Super Liga dan Moldovan Cup serta beraksi dalam perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dan Liga Europa UEFA (UEL).

Tejan menjadi tonggak import terbaru Selangor selepas Peter Makrillos, Jefferson Tabinas, Eduardo Sosa dan Arbenit Xhemajli.