Keadaan padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, Terengganu membuktikan pilihan yang dibuat jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon sebelum ini tepat.
Baru-baru ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memaklumkan SSMZA dan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) berpotensi sebagai stadium alternatif untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026.
Kenyataan tersebut dibuat susulan kebimbangan ramai peminat bola sepak tentang keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) selepas konsert artis British terkenal, Ed Sheeran yang berlangsung pada 24 Februari lalu.
Meskipun Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi jaminan langkah-langkah telah diambil untuk memastikan keadaan padang SNBJ berada dalam keadaan baik, kebimbangan itu masih ada.
Ini kerana ramai penyokong tidak dapat melupakan keadaan padang SNBJ selepas konsert artis terkenal, Coldplay pada akhir November lalu.
Keadaan padang SNBJ yang kurang baik sedikit sebanyak merencatkan kemeriahan aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Terengganu FC pada Disember 2023.
Potensi SSMZA sebagai stadium alternatif Harimau Malaya untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026 patut dilihat dari sudut positif.
Ini kerana keadaan padang SSMZA yang menggunakan rumput Bermuda bukan saja kelihatan cantik dan kemas.
Malah, kualiti padang SSMZA sentiasa diselenggara dan ditambahbaik agar mencapai piawaian berkualiti.
Hal ini turut menjadi fokus pengurusan Terengganu terutama menjelang musim baru Liga Super yang bermula pada Mei ini.
Kualiti padang stadium tersebut turut mendapat pujian Pan-gon seperti yang dinyatakan Hamidin kepada media baru-baru ini.
“Saya rasa kalau (Stadium Nasional) Bukit Jalil tak bagus, mungkin stadium (di) Johor (iaitu) Stadium Sultan Ibrahim. Tapi saya tak dapat maklum lagi daripada Pemangku Sultan Johor (Tunku Mahkota Ismail).
“Di situlah yang terbaik. Kalau tiada, di Terengganu (SSMZA). Itu antara (padang) yang terbaik. Kerana Coach Kim (Pan-gon) mahukan kualiti padang yang cantik,” katanya selepas Sesi Townhall Bola Sepak Wanita FAM di Armada Hotel, Petaling Jaya semalam.
Padang SSMZA turut menjadi saksi kemenangan kedua terbesar pernah direkodkan Harimau Malaya. Skuad negara berjaya mengalahkan Papua New Guinea 10-0 dalam aksi persahabatan pada Jun 2023.
Malaysia bakal menentang Oman untuk dua aksi kelayakan Piala Dunia 2026. Kedua-dua pasukan bakal beradu di Muscat pada 21 Mac sebelum kembali bersemuka di Malaysia pada 26 Mac.