Kuching City FC mendedahkan keadaan terkini pemain mereka, Jimmy Raymond selepas dibawa keluar dari ambulans semasa perlawanan menentang PDRM semalam.
Jimmy tidak sedarkan diri pada minit ke-83 selepas bola sepakan Kyaw Min Oo terkena kepala beliau.
Menyedari situasi cemas yang berlaku ketika itu, pengadil Zamzaidi Katimin menghentikan perlawanan dan segera memanggil pasukan perubatan masuk ke padang.
Selepas menerima rawatan, Jimmy kemudiannya dibawa keluar dengan ambulans sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Sama-sama kita doakan kesembuhan buat Jimmy Raymond yang telah mengalami kecederaan selepas terkena rembatan bola di kepala pada perlawanan malam tadi. Beliau telah dikejarkan ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan lanjut.
“Kita doakan semoga tiada kecederaan yang serius dan beliau dapat kembali bersama pasukan,” kata pihak pengurusan menerusi satu kenyataan di Facebook.
Jimmy telah membuat 18 penampilan dalam Liga Malaysia (Liga M) untuk Kuching City termasuk perlawanan malam tadi.