Kecederaan bahu yang dialami Aaron Chia tidak menjejaskan rentak beliau dan Soh Wooi Yik ke saingan suku akhir Badminton Asia Championships (BAC) 2025.
Sebelum ini, pemain berusia 28 tahun itu mengalami kecederaan tersebut ketika aksi pusingan pertama All England Open 2025.
Situasi ini mengakibatkan Aaron-Wooi Yik tewas kepada beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard dalam perlawanan tersebut.
Pada satu ketika, kecederaan berkenaan dilihat berpotensi menyebabkan mereka terlepas saingan BAC 2025. Pada akhirnya, Aaron-Wooi Yik mendapat lampu hijau daripada pasukan perubatan untuk menyertai kejohanan tersebut.
Apabila ditanya tentang kecederaan yang dialaminya, Aaron mengakui ia sedikit sebanyak memberi kesukaran kepada beliau beraksi di gelanggang.
Pada masa sama, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu tetap bersemangat untuk meneruskan cabaran Malaysia di peringkat suku akhir BAC 2025.
“Ia sedikit sebanyak beri kesukaran kepada saya tetapi ia tidak serius,” katanya kepada CGTN Sports.
“Walaupun rehat mencukupi diperlukan untuk membantu pemulihan (kecederaan) sepenuhnya, saya akan terus bersaing dan berjuang buat masa ini.”
Aaron-Wooi Yik mara ke suku akhir selepas menyingkirkan beregu ke-45 dunia dari India, Hariharan Amsakarunan-Ruban Kumar Rethinasabapathi di pusingan kedua.
Mereka bakal bersemuka dengan pilihan ketiga kejohanan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Aaron-Wooi Yik bukan satu-satunya wakil Malaysia yang beraksi di pentas suku akhir BAC 2025. Mereka disertai Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (beregu lelaki) dan Goh Soon Huat-Shevon Lai (beregu campuran).