Bekas juara dunia 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir Badminton Asia Championships (BAC) 2025.
Aaron-Wooi Yik mara selepas berjaya menewaskan beregu India, Hariharan Amsakarunan dan Ruban Kumar Rethinasabapathi di pusingan kedua.
Selepas berjaya menyingkirkan beregu Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura di pusingan pertama, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu mahu meneruskan rentak kemenangan di pusingan kedua.
Kali terakhir kedua-dua beregu bertemu ialah BAC edisi 2024. Aaron-Wooi Yik mudah menewaskan Amsakarunan-Rethinasabapathi dengan keputusan 21-15, 21-14.
Set pertama menyaksikan pada awalnya, beregu ke-45 dunia itu mendahului pada kedudukan 5-2. Aaron-Wooi Yik berjaya mengejar dan mengikat kedudukan 5-5.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 itu kemudiannya mendahului pada kedudukan 11-7. Meskipun cuba dikejar Amsakarunan-Rethinasabapathi, Aaron-Wooi Yik tetap unggul sebelum menang dengan keputusan 21-15.
Set kedua menyaksikan Amsakarunan-Rethinasabapathi cuba bangkit dengan mempamerkan corak permainan agresif. Ini membolehkan mereka mendahului pada kedudukan 7-4.
Aaron-Wooi Yik bangkit mengejar sebelum mengikat kedudukan 7-7. Beregu negara itu kemudiannya selesa mendahului sebelum meraih kemenangan 21-14.
Aaron-Wooi Yik bakal berdepan sama ada wakil Thailand, Chaloempon Charoenkitamorn-Worrapol Thongsa-nga atau pilihan ketiga kejohanan, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di suku akhir.