Pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kembali berlatih bagi menghadapi aksi Liga Super menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) pada Sabtu 14 September).
Namun sesi latihan tersebut menimbulkan tanda tanya di kalangan penyokong selepas menyaksikan hanya pemain muda sahaja yang menyertainya dan tiada langsung kelibat pemain senior kelihatan termasuk pemain import.
Sesi latihan yang diketuai oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain itu berlangsung di Stadium Darul Aman bersama barisan staf kejurulatihan yang lain.
Rata-rata penyokong meluahkan rasa sedih selepas melihat foto-foto sesi latihan yang dijalankan tersebut dengan ada juga yang berpendapat pasukan Kedah kini di ambang kejatuhan.
“Ramai dalam ni adalah peminat bolasepak Kedah, rata-rata cuba komen santai dan bersahaja, tapi jauh di lubuk hati rasa kecewa yang dalam. Bola sepak Kedah diambang kejatuhan,” luah Pakngah Janggut di ruangan komen Facebook KDA FC.
Biarpun hanya dibarisi pemain muda, terdapat penyokong yang memuji tindakan Kedah yang meneruskan saingan liga tanpa memohon penundaan atau penarikan diri dari saingan Liga Super musim ini.
“Tahniah KDA FC kerana berani melawan walaupun tanpa pemain utama. Tak nak minta tunda & tarik diri. Ini baru la anak jantan,” coret seorang penyokong Kedah, Shahrin Omar.
Dengan foto-foto sesi latihan yang dimuatnaik di laman sosial rasmi Kedah itu, ianya seolah-olah mengiyakan berita bahawa pemain Kedah memboikot sesi latihan kerana tidak menerima gaji sebelum ini.
Kedah kini menduduki tangga ke-8 Liga Super dengan mengumpul lapan mata selepas 8 perlawanan. Untuk rekod, kali terakhir Kedah memenangi perlawanan Liga Super adalah pada 12 Julai lalu ketika menewaskan Kelantan Darul Naim FC 3-0 di laman sendiri.