Pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dilaporkan telah memboikot sesi latihan dan ianya telah memasuki hari kedua setakat ini.
Perkara tersebut telah didedahkan oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom dalam satu hantaran di laman X baru-baru ini.
Difahamkan, pemain-pemain Kedah tidak menerima gaji mereka dan hanya menerima satu bulan setengah gaji sahaja daripada pihak pengurusan kelab.
“KDA FC KRITIKAL. Hari ini memasuki hari kedua pemain Kedah boikot latihan. Difahamkan sepanjang 2024, pemain hanya dibayar 1.5 bulan sahaja. Itu pun secara ansuran,” kongsi Fina di laman X.
Selain memboikot sesi latihan, Kedah dijangka bakal kehilangan beberapa pemain lagi disebabkan masalah gaji yang dihadapi.
“Selepas Habib & Fikri Che Soh, ramai lagi pemain bakal tinggalkan Kedah. Lebih parah, Kedah masih dalam transfer ban,” coret Fina di laman X.
Perkara ini agak membimbangkan penyokong Kedah yang baru sahaja kehilangan arkitek mereka Habib Haroon yang bertindak menamatkan kontrak lebih awal dan berhijrah ke Bahrain menyertai Sitra FC.
Sebelum ini, pemain Kedah seperti Irfan Zakaria telah bersuara mengenai masalah dalaman yang dihadapi dan beliau meluahkan rasa rindu terhadap gaji yang sudah lama tidak diterima.