Pemilik saham majoriti Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar percaya pasukan itu memerlukan RM10 juta untuk kempen musim 2024/25.
Situasi ini timbul selepas penaja utama Kedah terpaksa menarik diri pada saat akhir atas sebab kekangan saat akhir yang tidak dinyatakan.
Hal ini menyebabkan pasukan yang diberi jolokan Sang Kenari itu berusaha menarik pelabur dan penaja baru untuk mengisi kekosongan berkenaan.
Perkara ini turut disahkan Daud apabila ditemubual Harimau Malaya selepas tamat perlawanan Selangor FC dan Kedah di Stadium MBPJ semalam.
Dengan kos menguruskan pasukan mencecah jutaan ringgit, beliau melihat kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri penting demi memastikan Kedah terus bersaing dalam liga musim ini.
“Ya, bajetnya agak banyaklah. Bajetnya melibatkan jutaan ringgit ya. Bukan satu atau dua juta tetapi lebih daripada 10 juta. Jadi, kita perlukan bajet yang besar untuk 15 bulan untuk musim ini, bukan 12 bulan.
“Jadi, kita perlukan penajaan yang besar. Dan penaja utama biasanya bernilai lapan hingga 10 juta. Jadi, kalau ada penaja utama, Insya Allah kita boleh berjalan sebab kita sudah ada sokongan daripada penaja-penaja yang kecil.
“Jadi, kita perlukan satu penaja yang teras yang boleh menyerap semua kos kewangan yang dihadapi kita dalam Liga Super,” katanya.
Disebabkan isu ini juga, Kedah dan penaja jersi pasukan, AL Sports Sdn. Bhd. mencapai persetujuan untuk tidak mengeluarkan jersi baru musim 2024/25 sehingga mendapat penaja utama pasukan.
Persetujuan ini menyaksikan Sang Kenari memakai jersi pra-musim untuk tiga perlawanan awal Liga Super.