Kelab utara tanah air, Kedah Darul Aman (KDA) FC dilaporkan terbuka dan bersedia untuk menerima pemilik baharu bagi membawa pasukan di masa akan datang.
Sebelum ini, terdapat laporan memaklumkan bahawa sebuah syarikat global berminat untuk membeli KDA dan Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar sebagai pemilik kelab berbesar hati untuk merealisasikan hasrat tersebut.
“Berdasarkan beberapa laporan media sosial, media cetak mahupun media elektronik sejak beberapa hari lepas berhubung hasrat sebuah syarikat global untuk membeli keseluruhan kepentingan dan tanggungan KDA FC.”
“Pihak kelab amat mengalu-alukan hasrat murni tersebut. Kesediaan dan keberanian untuk membeli keseluruhan pegangan saham KDA FC adalah amat dihargai.”
“(Ini) memandangkan perniagaan dalam industri sukan bola sepak adalah terlalu mencabar,” kata Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dalam satu kenyataan di Kedah Darul Aman FC.
Oleh itu, beliau dengan sukacita menjemput mana-mana pihak yang berminat untuk menghantar dokumen berkaitan untuk meneruskan agenda ini ke arah lebih serius.
“Sehubungan itu, pihak kelab ingin menjemput syarikat yang berminat tersebut (atau mana-mana individu dan syarikat lain) bagi menghantar Surat Tunjuk Minat (Letter Of Interest) atau Surat Tawaran (Letter of Offer) secara rasmi kepada pihak kami.”
“Pihak pemegang saham KDA FC tidak ada halangan untuk mempertimbangkan mana-mana tawaran yang munasabah serta tulen demi kepentingan dan kelangsungan KDA FC.”
“Masa depan KDA FC adalah lebih penting dari mana-mana kepentingan yang lain,” ujar beliau dalam kenyataan tersebut.
Dalam perkembangan sama, pihak kelab juga mengajak para peminat Sang Kenari untuk bersama membantu meringankan beban pasukan dengan membeli tiket perlawanan bagi aksi seterusnya.
Kedah bakal turun melayani kunjungan Selangor di Stadium Darul Aman pada Sabtu, 2 November dengan sepak mula perlawanan pada jam 9 malam.