Pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman telah menemui penaja utama sekaligus bakal memberi nilai tambah sekitar RM10 Juta bagi musim baharu.
Skuad kendalian Nafuzi Zain menerima kekangan selepas hasrat penaja utama pada awalnya telah menarik diri saat akhir ekoran masalah yang dihadapi.
Keadaan ini menyebabkan pasukan masih belum memiliki jersi rasmi bagi musim baharu selepas syarikat penaja pakaian iaitu AL Sports Sdn. Bhd mencapai persetujuan untuk tidak mengeluarkan jersi baru musim 2024/25 sehingga mendapat penaja utama pasukan.
Sang Kenari bagaimanapun membawa khabar gembira kepada penyokong setia pasukan apabila Pemilik saham majoritinya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar memaklumkan bahawa ramai pihak tampil untuk berbincang dan memberikan maklum balas positif untuk bekerjasama serta menjadi penaja utama kelab tersebut.
“Saya sentiasa berhubung dengan mereka bukan sahaja penaja utama tetapi penaja kedua, ketiga, keempat dan semuanya kerana mereka sangat penting untuk KDA FC. Mereka amat penting untuk membantu kelab agar terus stabil dan lestari.
“Saya yakin dalam sekejap masa sahaja lagi kita boleh umum (penaja utama). Sekarang semuanya dalam peringkat akhir, kita mahu umum nama penaja semasa pelancaran jersi yang dijangka awal bulan Julai nanti,” katanya pada sidang akhbar, Ahad memetik laporan Sinar Harian.
Daud Bakar juga hadir pada pelancaran Program Perekonomian KDA FC melibatkan tiga syarikat iaitu GTR Burger, SBP Health dan e-Desa di Pejabat KDA FC di sini dan juga Syarikat Telekomunikasi XOX dengan empat syarikat ini bakal bekerjasama erat dengan pasukan musim ini.
Beliau juga sebelum ini memaklumkan bahawa penaja utama perlu menyumbang sekitar RM8-10 Juta bagi melancarkan perjalanan Sang Kenari.
“Ya, bajetnya agak banyaklah. Bajetnya melibatkan jutaan ringgit ya. Bukan satu atau dua juta tetapi lebih daripada 10 juta. Jadi, kita perlukan bajet yang besar untuk 15 bulan untuk musim ini, bukan 12 bulan.
“Jadi, kita perlukan penajaan yang besar. Dan penaja utama biasanya bernilai lapan hingga 10 juta. Jadi, kalau ada penaja utama, Insya Allah kita boleh berjalan sebab kita sudah ada sokongan daripada penaja-penaja yang kecil.