Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menerima berita gembira apabila Lee Motors bersetuju memperbaharui kerjasama dengan pasukan itu.
Pengumuman ini dibuat pengurusan Sang Kenari menerusi semua platform media sosial rasmi pasukan hari ini.
Selain menerima tajaan berbentuk wang tunai, Kedah juga mendapat sokongan dalam bentuk kemudahan kenderaan dan akses perkhidmatan yang ditawarkan Lee Motors.
“KDA FC dengan bangganya mengumumkan untuk meneruskan kerjasama dengan Rakan Rasmi Sang Kenari, Lee Motors untuk musim 2024/25 dengan tajaan wang tunai dan kemudahan kenderaan serta akses kepada perkhidmatan ditawarkan oleh syarikat tersebut.
“Persetujuan untuk meneruskan kerjasama ini akan memberi manfaat bersama antara kelab bersama syarikat pengedar tempatan yang dikenali seluruh Malaysia, Lee Motors Corp yang kini membawa jenama automotif tempatan dan antarabangsa iaitu BMW, Honda, Volkswagen, Proton dan BYD.
“Usaha kerjasama KDA FC dengan rakan rasmi yang semakin berkembang pastinya akan memberi momentum positif dan memberi kelebihan kepada kelab dan penyokongnya,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Berita ini dijangka memberi kelegaan kepada Sang Kenari yang kini sibuk mencari penaja utama untuk musim 2024/25.
Kedah memerlukan penaja utama yang boleh membawa nilai tajaan antara RM8 juta hingga RM10 juta untuk membantu mereka mengharungi perjalanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.