Advertisement
Kedah Tinggal 5 Pemain Import
Liga Super
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman hanya memiliki 5 orang pemain import berbaki saingan musim 2024/25.

Skuad kendalian Nafuzi Zain berjuang hebat sebelum menundukkan Terengganu di Darul Aman dengan keputusan 1-0 hasil ledakan Clayton.

Pengendali muda itu memaklumkan bahawa anak buahnya memperagakan aksi terbaik untuk mendapatkan tiga mata sungguhpun terpalit dengan pelbagai masalah luar padang.

Beliau menghargai jasa anak buahnya yang berjuang sehabis baik untuk memperbaiki kedudukan Sang Kenari dan menapak lebih tinggi dalam saingan domestik.

“Tiada ungkapan yang saya boleh berikan kepada pemain. Pemain memberikan segalanya, berjuang habis-habisan untuk aksi hari ini.

“Saya amat bersyukur kerana setiap hari pada sesi latihan, pemain ada dengan saya dan bermain malam ini. Ini kerana bagi perlawanan seterusnya, belum tentu pemain ada atau tiada,” jelasnya kepada KDA FC.

Kedah bagaimanapun terpaksa mengharungi baki kempen musim 2024/25 dengan hanya memiliki 5 pemain import.

Sebelum ini, kapten pasukan iaitu Habib Haroon telah membuat keputusan untuk meninggalkan Kedah dengan menyertai kelab Bahrain, Sitra SC.

Persembahan memukau beberapa tonggak tempatan seperti Syafiq Ahmad, Akmal Zahir, Ariff Farhan dan lain-lain telah membantu Kedah musim ini.

Nama-nama import seperti Sony Norde, Clayton, Milos Gordic, Ebinezer Assifuah dan juga Sukhrob Nurullaev terus menjadi sandaran pasukan ketika ini.

Aksi seterusnya menyaksikan Kedah bakal melayan kunjungan PDRM bagi aksi ke-14 Liga Super di Darul Aman pada 25 Oktober.