Kemenangan Kedah ke atas Terengganu dilihat cukup berharga untuk membantu pasukan terus berjuang musim ini namun status pemain masih samar.
Perkara itu dinyatakan oleh pengendali pasukan, Nafuzi Zain selepas melihat perjuangan hebat anak buahnya membawa kepada hasil yang lumayan.
Beliau mengakui bahawa persiapan pasukan tidak berjalan dengan begitu sempurna namun dengan keinginan dan usaha tidak mengenal erti kalah telah membuahkan kejayaan buat Sang Kenari.
Jaringan tunggal Clayton pada babak pertama sudah cukup untuk menghampakan skuad Peteh sekaligus meraih kemenangan pertama selepas 3 perlawanan seri di laman sendiri.
“Tiada ungkapan yang saya boleh berikan kepada pemain. Pemain memberikan segalanya, berjuang habis-habisan untuk aksi hari ini.
“Walaupun keadaan sukar dan persiapan yang tidak begitu sempurna untuk tempoh dua bulan terakhir, 3 mata itu saya rasa jutaan penghargaan kepada pemain.
Beliau juga berharap agar rakyat Kedah kembali memberikan sokongan kepada anak buahnya
“Saya amat bersyukur kerana setiap hari pada sesi latihan, pemain ada dengan saya dan bermain malam ini. Ini kerana bagi perlawanan seterusnya, belum tentu pemain ada atau tiada,” jelasnya kepada KDA FC.
Nafuzi menganggap ia merupakan satu nikmat apabila pemain masih turun bermain di bawah kendaliannya dengan pelbagai masalah luar padang yang belum diselesaikan.
Aksi Kedah seterusnya adalah menentang PDRM pada 25 Oktober manakala Terengganu akan ke Manjung menentang Perak.