Advertisement
Nafuzi Zain Terharu Lihat Aksi Pemain Kedah
Liga Super
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain nyata terharu ketika melihat pemain-pemain Kedah beraksi menentang Terengganu FC dalam aksi Liga Super pada Sabtu.

Bagi Nafuzi, biarpun para pemain mengalami situasi yang sukar di luar padang namun semangat juang yang ditampilkan oleh pemain Kedah membuatkan beliau sebagai jurulatih terharu dan bersedih.

“Kita (pasukan Kedah) lebih bercerita mengenai penyelesaian masalah individu-individu untuk kita hadapi sekarang ini. Tapi saya begitu terharu dan amat sedih. Bukan masalah kita menang dengan Terengganu atau pasukan mana pun. Tapi semangat juang yang pemain telah tunjukkan,” jelas Nafuzi dalam sidang media selepas perlawanan menentang Terengganu.

Nafuzi juga dalam masa yang sama meluahkan kesyukuran selepas pemain-pemain Kedah sentiasa ada bersama beliau di dalam situasi yang sukar seperti yang dihadapi sekarang.

“Setiap hari kita berlatih, pemain ada bersama dengan saya. Itu adalah kesyukuran buat saya berbanding dengan perkara lain. Untuk malam ini (perlawanan bertemu Terengganu), pemain ada dengan saya.

“Untuk perlawanan seterusnya, saya tidak tahu pemain ada atau tiada,” tegas Nafuzi lagi.

Kedah mencipta kejutan dengan menewaskan Terengganu 1-0 di Stadium Darul Aman pada Sabtu biarpun diulit dengan masalah tunggakan gaji sejak beberapa bulan yang lalu.

Kedah kini berada di tangga ke-9 Liga Super dengan mengumpul 12 mata selepas 11 perlawanan yang telah diharungi.