Timnas Indonesia mencatatkan peningkatan mendadak dari segi kedudukannya baru-baru ini.
Skuad kendalian John Herdman mengharungi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 FIFA sebagai persiapan menjelang sepak mula ASEAN Hyundai Cup 2026, Julai ini.
Sang Garuda memperagakan aksi cemerlang dengan menundukkan pasukan ke-79 dunia, Oman dengan keputusan 3-0.
Segar dengan kemenangan tersebut, Indonesia meneruskan rentak cemerlang apabila berjaya menewaskan Mozambique dengan kemenangan tipis 1-0.
Dua kejayaan ini membantu Indonesia untuk melonjak empat tangga dan berada pada kedudukan ke-118 dunia dengan 1157.14 mata, sekali gus menjadi pasukan ketiga terbaik di Asia Tenggara.
Sementara itu, kedudukan pasukan nombor satu Asia Tenggara kekal menjadi milik Thailand sungguhpun jatuh satu anak tangga ke kedudukan 94 dunia dengan 1250.80 mata.
Sebagai rekod, Indonesia menang tiga daripada empat perlawanan terakhir sekali gus membawa momentum cemerlang pada Julai ini selepas diundi bersama Kemboja, Timor Leste, Singapura dan Vietnam dalam Kumpulan A.
Pada aksi ASEAN Hyundai Cup 2026 itu nanti, Timnas Indonesia akan membuka tirai saingan menentang Kemboja pada 27 Julai 2026.