Warga Indonesia Cuba Guna RTM Tonton Piala Dunia, Netizen Malaysia Berang
MakanBola
Seleccion Nacional de Mexico

Seorang pengguna X melahirkan rasa tidak puas hati apabila warga Indonesia dilihat cuba mengakses siaran Piala Dunia 2026 yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ketidakpuasan hati itu dizahirkan seorang pengguna X bernama Saifuddin Al-Botakiri. Dia merasa hairan apabila ada rakyat Indonesia menunjukkan cara mengakses siaran RTM melalui rangkaian persendirian maya (VPN).

Saifuddin turut memuat naik gambar tangkap layar hantaran seorang pengguna media sosial Indonesia yang menunjukkan cara perkara itu dilakukan.

Dia turut menggesa Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengambil tindakan segera berhubung apa yang berlaku.

“Fahmi Fadzil, ketatkan akses RTMKlik ini. Kena pakai MyDigital ID pun baik. Bersungguh-sungguh bayar RM24 juta hak penyiaran untuk rakyat Malaysia, sekali server jadi berat sebab kena kerumun dengan warga Indonesia,” katanya.

Ramai pengguna turut meluahkan rasa tidak puas hati tentang apa yang berlaku di ruang komen. Seorang pengguna bernama Aliffriz mengeluarkan komen ini, “RTM tolong lakukan sesuatu. Bayar mahal-mahal, orang Indonesia boleh tengok percuma.”

Seorang pengguna lain bernama Nizam Reezahar pula mencadangkan siaran RTMKlik dihadkan kepada lokasi sekitar Malaysia sahaja. “Laksanakan langkah mengehadkan lokasi geografi (untuk siaran RTMKlik),” ujarnya.

Untuk rekod, RTM dan Unifi TV merupakan penyiar rasmi Piala Dunia 2026 di Malaysia.