Kerajaan MADANI mengesahkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV sebagai platform utama bagi memastikan siaran Piala Dunia FIFA 2026 dapat dinikmati secara inklusif oleh seluruh rakyat Malaysia.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa kerajaan telah memutuskan untuk menjalin usaha sama strategik dengan sektor swasta bagi menjamin kualiti siaran terbaik serta capaian yang lebih meluas kepada penonton.
Dalam pengumuman tersebut, Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersama Unifi TV telah dipilih sebagai penyiar rasmi kejohanan berprestij itu di Malaysia.
Menurut beliau, kejohanan yang bakal berlangsung bermula Jum 2026 itu akan disiarkan menerusi pelbagai platform termasuk siaran percuma (Free-to-Air) melalui MYTV, selain penstriman digital menerusi RTMKlik dan Unifi TV. Pendekatan ini diambil bagi memastikan akses yang lebih menyeluruh kepada rakyat di seluruh negara.
Dari segi liputan, kesemua 104 perlawanan Piala Dunia akan disiarkan secara langsung di Unifi TV. Dalam masa sama, RTM akan turut menyiarkan sebahagian besar aksi sama ada secara langsung atau siaran tertunda, sekali gus memberi lebih pilihan kepada peminat bola sepak tempatan.
Selain siaran perlawanan, program ‘grandstand’ khas akan diterbitkan dari Angkasapuri Kota Media dengan penyampaian utama dalam Bahasa Melayu serta sebahagian kandungan dalam Bahasa Inggeris. Perkembangan terkini kejohanan turut akan dikongsikan melalui program Selamat Pagi Malaysia.
Menariknya, kerajaan juga merancang untuk menganjurkan acara tontonan umum di beberapa lokasi terpilih sebagai usaha meningkatkan lagi keterlibatan peminat sepanjang kejohanan berlangsung.
Dalam perkembangan sama, beberapa penaja utama telah dikenal pasti dan kini berada di peringkat akhir perbincangan sebelum diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat.
Bagi peminat yang ingin menikmati siaran secara digital, aplikasi RTMKlik boleh dimuat turun melalui Google Play dan Apple App Store sebagai salah satu alternatif utama untuk mengikuti aksi Piala Dunia 2026.