Kedudukan pengendali KL City FC, Miroslav Kuljanac menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong.
Persoalan itu timbul selepas pengurusan The City Boys tidak mengumumkan kemas kini terbaru tentang status jurulatih Croatia itu.
Kini, wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam memaklumkan khidmat Kuljanac berkemungkinan tidak dikekalkan oleh pengurusan KL City.
Ini kerana beliau merupakan jurulatih yang dilantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) The City Boys sebelumnya, Stanley Bernard.
“Seperti yang anda tahu, dia dibawa masuk di bawah kepimpinan Stanley Bernard. Stanley Bernard sudah meninggalkan KL City (untuk menggalas peranan Timbalan CEO Harimau Malaya).
“Dijangkakan mana-mana jurulatih yang dibawa pengurusan terdahulu juga akan ditukar,” katanya kepada Nadi Arena.
Susulan itu, Zulhelmi mendedahkan antara nama yang dicanang bakal membimbing pasukan Lembah Klang itu pada musim hadapan ialah bekas jurulatih PDRM FC, Sulaiman Hussin.
“Sulaiman Hussin atau saya panggil Coach Leman, kali terakhir dia merupakan penolong jurulatih bersama Kuching City,” ujarnya.
“Coach Leman dengan KL City sebenarnya sinonim kerana dia Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
“Difahamkan beliau akan diberi peluang menjadi sebahagian daripada anggota kejurulatihan KL City. Saya belum dapat maklumat terperinci sama ada beliau menggalas tugas sebagai ketua jurulatih atau penolong jurulatih.”
Kuljanac membimbing KL City meraih tempat keenam liga musim 2024/25 dengan 31 mata.