Status dua figura bola sepak negara, Stanley Bernard dan Zulfadli Rozi bersama Harimau Malaya akhirnya terjawab.
Sebelum ini, ramai penyokong skuad negara tertanya-tanya selepas melihat kelibat mereka bersama Harimau Malaya pada Mac lalu.
Stanley dilihat meninjau latihan Harimau Malaya di Padang Seri Gelam bersama DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Turut sama hadir ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Joehari Ayub, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend dan legenda Australia, Tim Cahill.
Zulfadli yang mesra disapa Joe Rozi pula dilihat sibuk membantu persiapan Harimau Malaya termasuk hari perlawanan menentang Nepal pada 25 Mac lalu.
Kini, status dua figura itu bersama Harimau Malaya akhirnya didedahkan Joehari. Stanley kini menggalas peranan sebagai Timbalan CEO Harimau Malaya.
Zulfadli pula menggalas tanggungjawab sebagai koordinator pasukan Harimau Malaya.
“Stanley Bernard sekarang Timbalan CEO iaitu Rob Friend. Zulfadli Rozi pula sekarang koordinator pasukan,” katanya.
Joehari ditemui media dalam Majlis Hari Raya Aidilfitri 2025 anjuran FAM, Malaysian Football League (MFL) dan Amateur Football League (AFL) yang berlangsung pada hari ini.