Malaysia bangkit dalam memburu peluang ke separuh akhir Kejuaraan B-17 ASEAN setelah berjaya mengatasi Indonesia sekali gus memberi kesan dalam kedudukan kumpulan A.
Aksi kedua peringkat kumpulan A menyaksikan Malaysia B-16 kendalian Shukor Adan berjaya bangkit dari kekecewaan lalu untuk menumbangkan tuan rumah, Indonesia 1-0 pada Khamis.
Tandukan Farezz Danial pada pertengahan babak pertama sudah cukup untuk menghadiahkan 3 mata sulung kepada skuad muda Malaysia sekali gus menghidupkan peluang ke separuh akhir.
Kemenangan itu membantu Malaysia memintas Indonesia di tangga kedua meskipun kedua-dua negara memiliki kutipan mata yang sama, selepas tamatnya perlawanan kedua pada Khamis.
Namun, rekod Head-To-Head meletakkan pasukan muda negara di kedudukan lebih tinggi berbanding tuan rumah, Indonesia yang terpaksa akur sekadar berada di tangga ketiga semasa.
Tangga pertama kumpulan A kini dihuni oleh Vietnam setelah berjaya membelasah pasukan tercorot, Timor Leste 10-0 dan mengesahkan tiket ke separuh akhir meskipun masih berbaki satu perlawanan.
Aksi terakhir kumpulan A bakal menyaksikan Malaysia turun menentang Timor Leste pada petang Ahad tatkala Indonesia berdepan tugasan mencabar apabila akan bertemu Vietnam pada sebelah malam.