Advertisement
Kegembiraan Arsenal Tidak Bertahan Lama
EPL
MakanBola
Arsenal

Keceriaan Arsenal selepas melalui perlawanan ke-14 Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak bertahan lama.

Sebelum ini, anak buah Mikel Arteta ceria apabila berjaya mengatasi musuh tradisi mereka, Manchester United. Jurrien Timber dan William Saliba menyumbat gol pada separuh masa kedua untuk menundukkan The Red Devils.

Kemenangan ini membolehkan mereka merapatkan jurang dengan Liverpool yang menerajui liga dengan kelebihan tujuh mata. Ini selepas The Reds diikat 3-3 oleh Newcastle United di St. James Park.

Walau bagaimanapun, kegembiraan kem The Gunners musnah apabila mereka dipintas Chelsea untuk kedudukan tempat kedua. Ini selepas The Blues meraih kemenangan besar 5-1 ke atas Southampton.

Axel Disasi, Christopher Nkunku, Noni Madueke, Cole Palmer dan Jadon Sancho mencetak nama sebagai penjaring. Joe Aribo pula menyumbat gol saguhati buat The Saints.

Southampton turut dipaksa bermain dengan 10 pemain selepas Jack Stephens diperintah keluar padang oleh pengadil. Ini selepas VAR mengesan terjahan keras Stephens ke atas Marc Cucurella.

Keadaan ini sudah cukup buat Chelsea memintas Arsenal di tempat kedua dari segi kelebihan jaringan meskipun berkongsi 28 mata.

Arsenal kini perlu meraih kemenangan ke atas Fulham di Craven Cottage pada 8 Disember ini jika mahu mendapatkan kembali tempat kedua.