Lagenda bola sepak Jepun, Keisuke Honda sentiasa mengikuti perkembangan bola sepak di asia tenggara apatah lagi selepas beliau pernah mengendalikan skuad kebangsaan Kemboja dari 2018 hingga Januari 2023.
Dalam saingan Piala Asia awal tahun hadapan, Indonesia diletakkan di dalam kumpulan D bersama-sama Jepun, Iraq dan Vietnam. Bagi Honda, Indonesia adalah pasukan yang kuat dan paling sempurna di asia tenggara.
Bekas pemain AC Milan itu juga tidak sabar melihat aksi Indonesia menentang negaranya, Jepun di pentas tertinggi Asia itu.
“Indonesia adalah pasukan yang sangat berbahaya di asia tenggara. Dari segi kualiti, mereka mempunyai barisan pemain yang lengkap.
“Indonesia juga merupakan pasukan paling sempurna di kawasan (asia tenggara) dan sangat menarik untuk disaksikan perlawanan bertemu Jepun di Piala Asia 2023 kelak,” jelas Honda seperti yang dikongsikan media Vietnam.
Indonesia mempamerkan aksi luar biasa sejak kebelakangan ini dengan merekodkan tiga kemenangan dalam tiga aksi persahabatan terkini mereka. Pasukan Indonesia telah merekodkan 14 jaringan dalam tiga aksi tersebut dengan tanpa dibolosi sebarang gol.