Hasrat skuad futsal wanita Malaysia meraih kemenangan pertama dalam Kumpulan A Kejuaraan Futsal Wanita ASEAN musnah apabila diikat negara jiran, Indonesia.
Malaysia perlu menang jika ingin memiliki peluang layak ke separuh akhir. Indonesia turut memburu misi sama dengan memburu slot naib juara Kumpulan A.
Dua pemain Malaysian Tigress, Nur Lyana Soberi dan Intan Sarah Anisah Zulgafli berada dalam kesebelasan utama pasukan.
Indonesia terlebih dahulu di hadapan menerusi Nisma Rusdiana pada minit keenam dan kelapan.
Syafiqah Zainal dan Ayuni Anjani memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 menerusi gol pada minit kelapan dan ke-10.
Lyana kemudiannya memastikan Malaysia di hadapan pada minit ke-14. Keputusan 3-2 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Malaysia terus meningkatkan tekanan ke arah gawang Indonesia. Hasilnya, Syafiqah menambah gol kedua peribadi pada minit ke-18.
Indonesia kemudiannya mengurangkan defisit gol menerusi Fitri Amelya pada minit ke-25.
Tatkala Malaysia menyangka dapat meraih tiga mata penuh, Indonesia memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata menerusi gol sendiri Syafiqah pada minit ke-33.
Keputusan ini menyaksikan Malaysia menduduki tangga kedua Kumpulan A dengan satu mata. Selepas ini, skuad negara akan menentang Thailand pada 26 Februari.
Aksi ini dilihat penentu sama ada Malaysia akan mengiringi Thailand ke separuh akhir atau sebaliknya.