Skuad futsal Malaysia menghadapi Kejuaraan Futsal Wanita ASEAN 2026 dengan sokongan tiga tonggak skuad bola sepak wanita negara.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 14 pemain futsal negara yang akan menyertai kejohanan itu.
Tiga pemain tersebut ialah Intan Sarah Anisah Zulgafli, Nur Lyana Soberi dan Nur Syafiqah Zainal Abidin.
Nur Syafiqah dan Lyana Soberi bukan asing dengan sukan futsal. Malah, mereka masing-masing mewakili MBSJ FC dan BTR Perdana FC untuk Kejohanan Futsal Wanita Kebangsaan 2026.
Skuad negara telah berlepas ke Bangkok pada Jumaat bagi menghadapi cabaran Kumpulan A. Malaysia akan turun menentang Indonesia pada 25 Februari ini.
Ini disusuli aksi menentang tuan rumah, Thailand pada 26 Februari ini. Kumpulan B pula terdiri daripada juara bertahan Vietnam, Myanmar, Filipina dan Australia.
Juara dan naib juara setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir. Aksi separuh akhir akan berlangsung pada 28 Februari ini.
Ini disusuli aksi final dan penentuan tempat ketiga yang diadakan pada 2 Mac ini.