5 pemain Malayan Tigress bakal menghangatkan lagi Kejohanan Futsal Wanita Kebangsaan 2026.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan nama 15 pemain kebangsaan yang akan beraksi dalam kejohanan itu.
Selain lima pemain skuad bola sepak wanita Malaysia, 10 pemain futsal kebangsaan juga akan mengambil bahagian.
Kapten Malayan Tigress, Steffi Sarge Kaur antara dua tonggak yang direkrut MBSJ FC. Selain beliau, MBSJ turut merekrut pemain tengah kebangsaan, Nur Syafiqah Zainal Abidin.
Seorang lagi pemain tengah kebangsaan, Nur Lyana Soberi pula beraksi untuk BTR Perdana FC. Kudrat Nur Fazira Sani pula ditagih MBPJ FC.
Pemain pertahanan muda Malayan Tigress, Nur Dhiyaa Addin Mohd Azhari pula membawa cabaran UITM Lioness FC.
Untuk rekod, setiap pasukan yang menyertai Kejohanan Futsal Wanita Kebangsaan hanya dibenarkan merekrut empat pemain kebangsaan yang beraksi dalam acara futsal wanita dan bola sepak wanita Sukan SEA 2025.
Kejohanan Futsal Wanita Kebangsaan bakal membuka tirai pada 18 Januari ini.