Kelab Bola Malaysia Buat Pinjaman Dengan Peminjam Wang Berlesen
MakanBola
Unsplash/Davide Buttani

Sebuah syarikat pinjaman wang menyaman sebuah kelab bola sepak Malaysia dengan nilai berjumlah RM1.04 juta.

The Edge Malaysia melaporkan saman itu difailkan Appasia Capital Sdn Bhd ke atas Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) kerana gagal melunaskan pinjaman yang diambil pada 2022 untuk membayar gaji pemain.

Susulan itu, Appasia Capital menamakan Presiden KLFA, Datuk Seri Syed Yazid Syed Omar, timbalan presiden, Datuk Kamaruddin Hassan, naib presiden, Wong Yeon Chai, Sham Shamrat Sen Gupta, Datuk Ramlan Askolani, Nor Asyikin Jaafar dan Datuk Hisamudin Yahaya serta bendahari, Mohd Zaki Hairudin sebagai defendan.

Kesemua lapan defendan kemudiannya memohon agar saman itu ditolak atas alasan perkara itu berlaku sebelum penggal mereka memegang jawatan dalam KLFA.

Saman telah difailkan pada 16 Mei tahun lalu dengan perbicaraan sepatutnya diadakan pada bulan ini. Walau bagaimanapun, perbicaraan kes terpaksa ditangguhkan susulan pelantikan pesuruhjaya kehakiman baru untuk mendengar kes berkenaan.

Mengikut keterangan saman, Appasia dan KLFA bersetuju untuk memeterai pinjaman sebanyak RM1 juta dengan faedah 8.4% pada 2022, KLFA sepatutnya menyelesaikan pinjaman dengan bayaran dalam tempoh tiga bulan.

KLFA seharusnya membayar RM7,000 dari 17 Julai hingga 15 September 2022 dan bayaran akhir sebanyak RM1 juta pada 15 Oktober 2022. KLFA kemudiannya mengeluarkan surat yang memaklumkan RM40,000 ditolak dari jumlah pinjaman untuk duti setem, yuran guaman dan lain-lain.

Badan induk bola sepak Kuala Lumpur itu menyelesaikan sebahagian daripada RM250,000 pada 27 September 2022 dan melanjutkan tempoh bayaran sehingga Disember 2022. KLFA kemudiannya mengambil pinjaman tambahan sebanyak RM250,000 pada 6 Disember 2022.dan berjanji akan membayarnya dalam tempoh tiga bulan.

Susulan itu, KLFA memohon lanjutan masa untuk menyelesaikan pinjaman menerusi surat penerimaan bertarikh 15 September 2024. Menerusi surat tersebut, KLFA berjanji akan membayar jumlah akhir pada 10 Oktober 2024.

Appasia Capital mendakwa meskipun KLFA sudah membayar RM406,000 dari 15 Julai 2022 hingga 31 Januari 2025, badan tersebut masih gagal melunaskan pinjaman walaupun banyak kali telah diberi ingatan.

Defendan kemudiannya memohon saman tersebut ditolak kerana mereka bukan pemegang jawatan KLFA pada ketika itu. Selain itu, saman seharusnya ditujukan kepada tiga figura iaitu Khalid Samad, Toh Hong Chye dan Stanley Bernard.

Mereka melihat saman seharusnya dikemukakan kepada tiga figura itu memandangkan Khalid merupakan presiden KLFA pada ketika itu.

Mereka turut berhujah dengan menggunakan jaminan peribadi yang diberi Stanley bahawa penghutang ialah Khalid dan Hong Chye dan bukan penjamin untuk jumlah pinjaman tersebut.

Permohonan kesemua lapan defendan untuk menolak saman telah dibuat pada 30 Julai lalu. Permohonan itu akan didengar Pesuruhjaya Kehakiman Marianne Antoinette Ghani pada 17 September ini.

Khalid merupakan Presiden KLFA dari 2019 hingga Mac 2024. Beliau dibawa masuk untuk membantu menyelesaikan isu tunggakan gaji dan masalah kewangan yang dihadapi Kuala Lumpur City FC (KL City FC).

Selepas beliau meletak jawatan, barisan kepimpinan baharu KLFA dipilih dengan Syed Yazid dilantik sebagai Presiden KLFA untuk penggal 2024-2028.