Pemain import Selangor, Well Pereira mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan dan mengumumkan bakal menyertai sebuah kelab di Indonesia.
Sejak menyertai Selangor pada Disember lalu, Well telah memainkan peranan besar buat The Red Giants apabila meledak 15 gol dalam saingan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2024.
Selain itu, pemain berusia 31 tahun ini juga muncul penjaring terbanyak dalam kempen Malaysia Futsal Cup lalu dengan tujuh jaringan untuk membantu Selangor meraih naib juara.
Walau bagaimanapun, jodoh Well atau nama sebenarnya Wellington Pereira bersama Selangor tidak panjang setelah beliau memutuskan untuk berhijrah ke Indonesia musim hadapan.
”Saya akan ke Indonesia musim hadapan dan bermain di sana,” umum Wellington dalam satu hantaran video oleh Selangor FC Futsal.
”Saya pergi dengan keyakinan yang sama seperti saya tiba di sini (Malaysia),” kata Well lagi yang pernah beraksi bersama Shah Alam City pada musim 2023 yang lalu.
Tambah beliau, penghijrahan ke Indonesia ini adalah satu peluang untuk belajar sesuatu baharu selain menganggap perpisahan ini sebagai kitaran biasa bagi seorang pemain.
“Saya pergi ke sana (Indonesia) dan lakukan tugas terbaik serta pulang membawa sesuatu yang dipelajari kemudian mengajarkannya dan belajar lagi.”
”Ini adalah kitaran bagi permulaan serta pengakhiran dan apa yang tinggal hanyalah legasi yang dibina,” ujar Well di dalam video berkenaan.
Sehingga kini, identiti kelab dari Indonesia yang bakal disertai oleh Well Pereira itu masih tidak diketahui namun menurut Asean Futsal, pasukan tersebut adalah Unggul FC Malang.
Selain Well, Selangor juga kehilangan khidmat seorang lagi pemain import dari Brazil, Gabriel Rosa sebelum ini yang menyertai Clube Atletico Guarany pada minggu lalu.