Singapura membuka kempen aksi persahabatan di Jepun dengan langkah kiri apabila dimalukan kelab J1 League, FC Tokyo 4-0.
Aksi menentang FC Tokyo merupakan sebahagian daripada tiga aksi persahabatan di Jepun yang diatur jurulatih The Lions, Tsutomu Ogura sebagai persiapan menghadapi ASEAN Championship 2024.
Malangnya, hajat Ogura melihat anak buahnya meraih kemenangan pertama di Negara Matahari Terbit itu tidak kesampaian. Everton Gaundino membuka tirai jaringan buat FC Tokyo pada minit ke-19.
Gawang Singapura bocor lagi buat kali kedua menerusi pemain sayap kiri FC Tokyo, Keita Endo pada minit ke-34. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Singapura melancarkan beberapa serangan dengan harapan dapat merapatkan jurang gol tetapi tidak berhasil.
Sebaliknya, FC Tokyo menambah dua lagi gol bagi memastikan mereka meraih kemenangan bergaya 4-0 ke atas The Lions.
Kekalahan ini menyaksikan Ogura terus tercari-cari kemenangan keduanya sebagai jurulatih Singapura. Sebelum ini, beliau merekodkan kemenangan 3-0 ke atas kelab Singapore Premier League (SPL), BG Tampines Rovers pada September lalu.
Kini, Singapura bakal mengalihkan fokus kepada satu lagi aksi persahabatan menentang Tokyo Verdy. Perlawanan tersebut bakal diadakan pada 11 Oktober ini.
Ini disusuli aksi persahabatan menentang Yokohama F. Marinos yang bakal diadakan pada 14 Oktober.