Singapura Asah Taring Di Jepun
MakanBola
FA Singapore

Singapura memanfaatkan kalendar antarabangsa FIFA dengan mengadakan tiga aksi persahabatan di Jepun.

Ini merupakan sebahagian daripada perancangan jurulatih The Lions, Tsutomu Ogura sebagai persiapan menghadapi ASEAN Championship 2024 pada penghujung tahun ini.

Ogura melihat tiga aksi menentang tiga kelab utama J1 League bukan saja peluang untuk menerapkan permainan intensiti tinggi yang dimahukannya. Malah, ini akan membantu pemain membiasakan diri dengan corak permainan baru pasukan.

“”Kita bermain menentang pasukan utama J1 tetapi saya tidak mahu pemain terlalu memikirkan lawan atau terlalu menghormati mereka. Kita hanya perlu beri tumpuan kepada sasaran prestasi yang ingin kita capai semasa permainan dan merealisasikan sasaran berkenaan.

“Pada perlawanan ini, kita mahu melihat pemain kita dapat bermain bola sepak berintensiti tinggi untuk tempoh yang lebih lama berbanding sebelum ini.

“Sepanjang perjalanan, kita ingin melihat komitmen sebenar dalam sesi latihan kita dan semakin menyesuaikan diri dengan gaya bola sepak yang kita mahukan untuk pasukan The Lions,” katanya dalam satu kenyataan.

Singapura bakal menentang FC Tokyo pada 8 Oktober sebelum disusuli aksi menentang Tokyo Verdy pada 11 Oktober. The Lions bakal menutup kempen di Jepun dengan menentang Yokohama F. Marinos pada 14 Oktober.

Menurut laporan portal Jepun, Gekisaka, aksi Singapura-FC Tokyo dan Singapura-Tokyo Verdy dibuka kepada orang ramai. Sementara aksi menentang Marinos pula hanya terbuka kepada ahli kelab dan peminat yang memenangi tiket menerusi kaedah loteri.

Ogura telah memanggil 30 pemain untuk tiga aksi di Jepun dengan enam daripadanya berpangkalan di luar Singapura.

Mereka ialah Ikhsan dan Ilhan Fandi (BG Pathum United), Harhys Stewart (Chiangrai United), Jacob Mahler (Muangthong United) dan Irfan Fandi (Port FC).

Kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin tidak dapat menyertai kem Singapura kali ini. Tempat beliau digantikan pemain pertahanan Lion City Sailors, M. Anumathan.

Sebelum ini, Singapura turut mengadakan aksi persahabatan tertutup dengan BG Tampines Rovers dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) pada September lalu.