Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan bergaya ke atas pasukan kebangsaan Singapura.
Aksi yang berlangsung di Kallang Football Hub, Singapura itu menyaksikan juara Piala FA itu menurunkan beberapa muka baharu untuk diuji.
Antara pemain yang mencuri tumpuan ialah penjaga gol, Andoni Zubiaurre, Jorge Obregon, Iker Undabarrena dan juga Enzo Lombardo.
Perlawanan babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha keras untuk mendapatkan jaringan awal.
Peracang tengah JDT, Nazmi Faiz membuka tirai jaringan menerusi ledakan cantik menewaskan penjaga gol lawan.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-0 memihak pasukan pelawat.
Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan rancak mengatur gerak dan tidak membenarkan lawan mendapatkan rentak.
Peledak berbisa Colombia, Jorge Obregon meneruskan momentum terbaiknya apabila menjaringkan gol kedua pasukan dan gol ketiga peribadi sejak bersama JDT.
Aksi gemilang itu ditutup dengan jaringan ketiga Harimau Selatan oleh pemain sayap, Mohamadou Sumareh pada minit ke-90.
Tambahan masa 6 minit tidak mengubah keputusan perlawanan yang kekal hingga wisel penamat dibunyikan.
Aksi tamat dengan JDT berjaya mengatasi Singapura dengan keputusan 3-0.
JDT sebelum ini telah menewaskan kelab Thailand, Port FC dengan keputusan 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim tempoh hari.