Bekas pemain Perak FC, Kim Yun-do kini berkelana di bumi Jerman.
Portal Football-Asian melaporkan Yun-don menyertai skuad kedua Eintracht Frankfurt dengan kontrak selama dua tahun. Sebelum itu, beliau pernah beraksi untuk kelab FC Giessen.
Perpindahan tersebut didorong oleh penolong jurulatih dan legenda kelab itu dari Jepun, Makoto Hasebe.
Hasebe cukup tertarik bukan saja dengan kelebihan fizikal yang dimiliki Yun-do. Malah, beliau kagum dengan kualiti pertahanan yang dimilikinya ketika Frankfurt menentang Giessen.
Kontrak dua tahun yang ditawarkan kepada Yun-do dilihat sebahagian daripada usaha kelab untuk mengintegrasikan beliau dengan skuad senior Frankfurt pada masa hadapan.
Selain Giessen, Yun-do juga pernah mewakili skuad remaja RW Erfurt, skuad remaja Gwangju FC, skuad remaja Daegu FC dan skuad remaja Busan IPark.
Beliau membuat penampilan profesional pertama bersama The Bos Gaurus pada 2023. Walau bagaimanapun, Yun-do hanya beraksi satu perlawanan sebelum menyertai Cheonan City pada 2024.