Dengan Liga Super bakal bermula dalam tempoh beberapa hari lagi, Perak dilihat mempertimbang semula pendirian hanya menggunakan tiga pemain import untuk saingan musim ini. Ini selepas mereka mengikat tiga pemain import dari Korea Selatan semalam.
Tiga pemain tersebut ialah Lee Joo-han, Sim Hyun-ki dan Seo Sun-ung. Joo-han, 21, beraksi di bahagian tengah dengan Hyun-ki, 22, pula berada di bahagian pertahanan. Sementara Sun-ung, 23, pula perlu bersaing dengan Hadi Fayyadh dan Christian Obiozor di bahagian serangan.
Joo-han menyertai pasukan dari pasukan divisyen keempat Austria, ATSV Stadl-Paura. Manakala Hyun-ki dan Sun-ung pula masing-masing menyertai The Bos Gaurus dari Pyeontaek Citizen dan kelab divisyen kelima Sepanyol, CD Tuilla.
Kehadiran tiga pemain muda ini dilihat bertepatan dengan falsafah jurulatih Datuk Lim Teong Kim yang mahu menggilap bakat pemain-pemain muda yang beraksi bersama skuad Seladang.
Ramai penyokong berharap trio pemain Korea Selatan itu dapat membuktikan kehadiran mereka benar-benar memantapkan pasukan dan bukannya pengambilan panik. Ini kerana mereka tidak mahu perpindahan bersifat tangkap muat menjejaskan perancangan pasukan untuk musim ini.
Kelibat Joo-han, Hyun-ki dan Sun-ung bakal dilihat para penyokong dalam perlawanan pertama Liga Super Perak menentang Kedah di Stadium Perak pada 25 Februari ini.