Kelab Piala Dunia FIFA: Ulsan HD Balang 3, Potensi Jumpa Real Madrid & Inter Miami
MakanBola
UHDFC/IMFC/RMFC

Juara K-League 1 musim 2024, Ulsan HD berpotensi berentap dengan dua kelab ternama dunia, Real Madrid dan Inter Miami.

Ini selepas 32 pasukan yang layak ke Piala Kelab Dunia FIFA sudah ditentukan mengikut balang undian masing-masing. Balang 1 terdiri daripada empat pasukan terbaik UEFA (Eropah) dan CONMEBOL (Amerika Selatan).

Balang 2 terdiri daripada baki lapan pasukan terbaik UEFA. Balang 3 pula terdiri daripada dua pasukan teratas AFC (Asia), CAF (Afrika), CONCACAF (Amerika Utara dan Carribean) dan baki dua pasukan CONMEBOL.

Balang 4 terdiri baki pasukan AFC, CAF dan CONCACAF yang layak ke Piala Kelab Dunia FIFA. Inter Miami mengisi slot terakhir selaku tuan rumah.

Ulsan yang dibimbing bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon berada dalam Balang 3. Turut berada dalam balang sama ialah Al-Hilal, Al-Ahly, Wydad AC, Monterrey, Leon, Boca Juniors dan Botafogo.

Balang 1 pula terdiri daripada Manchester City, Bayern Munich, Real Madrid dan Paris Saint-Germain selaku wakil UEFA. Flamengo, Palmeiras, River Plate dan Fluminense mewakili CONMEBOL.

Chelsea, Borussia Dortmund, Inter Milan, Porto, Atletico Madrid, Benfica, Juventus dan Red Bull Salzburg dalam Balang 2.

Urawa Reds, Al-Ain, Esperance de Tunis, Mamelodi Sundowns, Pachuca, Seattle Sounders, Auckland City dan Inter Miami melengkapkan Balang 4.

Ulsan layak ke Piala Kelab Dunia FIFA 2025 kerana menjadi pasukan keempat terbaik mengikut ranking AFC. Pasukan gergasi Korea Selatan itu juga berpeluang memberi saingan kepada kelab-kelab lain.

Ini kerana mereka boleh mendapatkan pemain dalam tetingkap perpindahan khas yang dibuka dari 1 hingga 10 Jun 2025.