Kelab Vietnam, Cong An Ha Noi (CAHN) memanfaatkan tempoh rehat V. League 1 dengan menewaskan pasukan Liga Super, PDRM FC semalam.
Perlawanan persahabatan itu diadakan di Stadium Hang Day bagi meraikan penyokong untuk menutup tahun 2023.
Memandangkan ramai pemain CAHN dipanggil ke kem skuad kebangsaan Vietnam, pengendali interim Tran Tien Dai memberi peluang kepada pemain-pemain simpanan beraksi dalam kesebelasan utama.
Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi mendapatkan gol awal.
Bagaimanapun, The Horses lebih klinikal di depan gol dan memastikan mereka menyumbat tiga gol dalam gawang pelawat.
The Cops memastikan keputusan 3-1 kekal hingga rehat separuh masa menerusi satu gol mereka.
Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan berusaha menambah koleksi gol mereka tetapi gagal. Pada akhirnya, keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Biarpun tewas, ini satu pengalaman berguna buat PDRM selepas berjaya bergelar juara Challenge Cup dan menamatkan musim di tangga kelapan Liga Super.
Selepas perlawanan, ramai pemain PDRM mengambil kesempatan bergambar dengan bintang CAHN dan Vietnam, Nguyen Quang Hai.
Quang Hai dan lima lagi pemain CAHN telah dipanggil menyertai skuad Vietnam yang beraksi dalam saingan Piala Asia 2023.