Kelab Vietnam Dikenakan Sekatan FIFA
MakanBola
Khanh Hoa

Sebuah kelab Vietnam dikenakan sekatan perpindahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati lewat membayar pampasan kepada bekas pemain import mereka.

VNExpress melaporkan kelab V. League 2, Khanh Hoa dikenakan sekatan tersebut untuk tetingkap perpindahan musim panas 2024, musim sejuk 2025 dan musim panas 2025.

Ad

Keputusan ini dibuat selepas FIFA mendapati Khanh Hoa lewat membayar pampasan tiga bulan gaji kepada Mamadou Guirassy sebanyak AS$19,500 (RM81,690).

Ad

Sebelum ini, kelab memilih menamatkan kontrak Guirassy dan hanya perlu menjelaskan pampasan tiga bulan gaji dari Mac hingga Mei 2024. Malangnya, itu tidak dapat dilakukan disebabkan akaun kelab dibekukan kerana gagal menjelaskan bayaran cukai untuk musim 2022/23.

Pembekuan akaun dari 15 Mac hingga 25 Jun itu menyebabkan Khanh Hoa tidak dapat melunaskan bayaran seperti yang dijanjikan. Kelab kemudiannya menawarkan bayaran dibuat secara ansuran sebanyak tiga kali tetapi ditolak oleh Guirassy.

Ad

Lantaran itu, FIFA menghantar surat kepada Khanh Hoa untuk menjelaskan nilai pampasan yang dinyatakan. Walau bagaimanapun, pampasan tersebut hanya dapat dilunaskan pada 26 Jun – sehari selepas Khanh Hoa mendapat kembali akaun mereka.

Ad

Susulan itu, FIFA mengarahkan kelab Vietnam itu membayar pampasan sebanyak AS$27,900 (RM123,318) termasuk denda dan faedah sebanyak 5%.

Ad

Arahan itu dikeluarkan pada 2 Julai lalu. Khanh Hoa kemudiannya mengumumkan mereka bersedia membayar baki wang yang dinyatakan dan mencapai persetujuan dengan Guirassy untuk pembayaran dilunaskan pada 3 Ogos lalu.

Kelab itu sekali lagi berdepan masalah kerana isu visa menghalang Khanh Hoa daripada memindahkan wang berkenaan ke akaun penyerang Guinea itu. Ini mendorong Guirassy memfailkan aduan rasmi kepada FIFA.

Lantas, pada 6 Ogos lepas, FIFA telah menghantar surat kepada Khanh Hoa dan Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) bahawa kelab itu dikenakan sekatan perpindahan sehingga tahun 2025.

Khanh Hoa kemudiannya telah menghantar surat kepada FIFA dan VFF pada 12 Ogos lepas bahawa mereka menunggu pelepasan antarabangsa Guirassy sebelum dapat melunaskan pampasan berkenaan.

Khanh Hoa bergelut dengan masalah kewangan sejak setahun yang lalu. Isu tunggakan gaji selama tiga bulan dan bonus turut menyebabkan pemain-pemain pasukan itu melancarkan mogok pada Jun 2024.

Isu sama juga menyebabkan Khanh Hoa disingkirkan daripada saingan V. League 1 musim 2023/24 dengan baki empat perlawanan. Malah, timbul kebimbangan bahawa kelab berkenaan berpotensi tidak dapat melengkapkan V. League 2 musim 2024/25.

Ini kerana Khanh Hoa gagal memenuhi kriteria kewangan yang ditetapkan oleh VFF. Ramai penyokong bimbang kelab itu bakal mengalami nasib sama seperti Than Quang Ninh.

Kelab tersebut dibubarkan pada Oktober 2021 selepas berdepan sekatan perpindahan FIFA dan hutang berjumlah VND70 bilion (RM12.3 juta). Hutang ini terdiri daripada tunggakan gaji, bonus dan yuran perpindahan kepada kelab-kelab lain.

Ini bukan kali pertama kelab Vietnam berdepan masalah kewangan dan berdepan tindakan daripada FIFA. Thanh Hoa sebelum ini pernah didenda AS$470,000 (RM2.07 juta) oleh FIFA.

Ini selepas kelab itu didapati melanggar kontrak membabitkan tonggak import Igor Jelic, Idrissa Sega Cisse, Gramoz Kurtaj dan jurulatih Fabio Lopez. Ironinya, pencabar Terengganu FC dalam saingan Shopee Cup itu turut berdepan masalah sama untuk musim 2024/25.

Ini menyebabkan ramai pemain kelab itu mengadakan mogok pada 8 Ogos lalu untuk menuntut tunggakan gaji dan bonus sebanyak VND20 bilion (RM3.5 juta) untuk tempoh dua tahun.