Jaguh Pantai Timur, Terengganu dijangka tidak berdepan masalah sukar untuk melepas peringkat kumpulan Shopee Cup 2024/2024.
Menerusi undian Shoppe Cup yang dijalankan pada Khamis, anak didik Tomislav Steinbruckner telah diundi berada di dalam kumpulan A bersama wakil Thailand, BG Pathum United, PSM Makassar dari Indonesia dan Dong A Thanh Hoa dari Vietnam.
Dua pasukan lagi yang bakal melengkapkan kumpulan adalah pemenang playoff 1 di antara Young Elephants menentang Svay Rieng dan pemenang di antara Kasuka FC menentang Shan United yang akan turun dalam aksi playoff 2.
Manakala, laluan sukar bakal ditempuh satu lagi wakil negara, KL City apabila diundi di dalam kumpulan B bersama empat pasukan tumpuan iaitu Buriram United (Thailand), Cong An Ha Noi FC (Vietnam), Lion City Sailors dan juga Kaya FC-ILOILO (Filipina).
Keempat-empat pasukan ini mempunyai pengalaman beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) sebelum ini selain kehadiran pasukan Indonesia, Borneo FC Samarinda yang pastinya mahu melakukan kejutan.
Shopee Cup 2024/2025 bakal membuka tirai pada 17 Julai 2024 dan akan berakhir 21 Mei 2025 dengan 12 pasukan hebat dari rantau Asia Tenggara akan bertarung bagi merebut kejuaraan yang julung kali diadakan ini.