Kelantan FC merupakan satu-satunya kelab Liga Super yang ditangguhkan pemberian Lesen Kebangsaan mereka selepas didapati masih ada tunggakan gaji setakat 31 Ogos 2023.
Mesyuarat Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) kali ke-6 walau bagaimanapun memberikan peluang terakhir kepada Kelantan sehingga 30 November untuk menyerahkan bukti bayaran tunggakan gaji sehingga 31 Ogos ataupun persetujuan bersama pemain dan pegawai kelab.
Jika mereka tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut, sudah pasti pasukan Kelantan hanya dibenarkan beraksi di Liga M3 musim hadapan.
“TRW Kelantan FC akan mengikut jejak langkah Melaka & Sarawak United ke Liga M3 sekiranya gagal menyerahkan bukti bayaran tunggakan gaji sehingga 31 Ogos.
“Sekiranya gagal, Kelantan FC secara automatik tidak akan menerima Lesen Kebangsaan bagi musim 2024-2025,” coret Ketua Editor Makanbola, Nikfalovic di laman X beliau.
Kelantan masih mempunyai masa untuk menyelsaikan permasalahan yang berlaku agar pasukan yang penuh dengan sejarah itu dapat terus beraksi di kasta tertinggi bola sepak Malaysia.
Musim ini, Kelantan berdepan dengan kesulitan apabila tidak dibenarkan membawa masuk pemain baharu termasuk pemain import pada jendela perpindahan pertengahan musim.
Disebabkan hal berkenaan, Kelantan terpaksa menggunakan pemain-pemain muda untuk mengharungi baki saingan Liga Super 2023.
Musim ini juga menyaksikan Kelantan mencipta sejarah tragis apabila menjadi pasukan pertama yang dibolosi lebih 100 gol dalam Liga Super sejak ianya diperkenalkan pada tahun 2004.