Kelantan Darul Naim Kekal Dalam Liga Malaysia 2025/2026?
MakanBola
Kelantan Darul Naim FC

Kelantan Darul Naim FC masih menunggu keputusan daripada penganjur liga, Malaysian Football League (MFL) tentang urusan dokumentasi kelab tersebut bagi musim 2025/2026.

Ketua pegawai eksekutif (CEO) Kelantan Darul Naim, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata pihaknya telah mengemukakan segala dokumen yang berkaitan pada 9 Mei lalu kepada pihak MFL.

“Sekarang mungkin dalam proses pengesahan dan membuat keputusan, jadi kita serah kepada kebijaksanaan MFL.

“Untuk pihak KDN, kita sudah cuba untuk mematuhi sebaik mungkin dan beberapa dokumen tambahan yang diminta oleh MFL juga kita telah hantar.

“Alhamdulillah setakat ini kita menunggu keputusan baik daripada mereka. Saya dimaklumkan tiada lagi dokumen tambahan yang diminta oleh MFL sejak kelmarin ataupun hari ini.” ujar Datuk Mohd Irwan Rizal dalam temu bual bersama Astro Arena.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kelantan Darul Naim akan berbelanja secara berhemah pada musim hadapan bagi mengelak daripada berlaku isu yang tidak sepatutnya.

“Kita kena lihat balik adakah kita mampu. Salah satu fokus penting adalah perbelanjaan berhemah. Kita tak mahu ikut kelab-kelab lain tetapi lihat diri kita sama ada mampu atau tidak.” tambah beliau lagi.

Kelantan Darul Naim sebelum ini mengharungi musim 2024/2025 yang mengecewakan apabila menamatkan saingan Liga Super di tangga tercorot dengan meraih 7 mata hasil 2 kemenangan, 1 seri dan 21 kekalahan.