Kelantan DN Berjaya Pikat Hati Penyokong
MakanBola
Kelantan Darul Naim
Sponsors

Aksi cemerlang Kelantan Darul Naim ketika tumpas di tangan Sabah pada Jumaat mula dapat perhatian para peminat yang merindukan zaman kegemilangan bola sepak negeri itu.

Perlawanan yang dihadiri seramai 7,778 penonton itu menyaksikan Kelantan Darul Naim mempamerkan permainan yang berkualiti meskipun tewas tipis kepada Sabah di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Ad

Sabah membuka tirai jaringan terlebih dahulu menerusi Gabriel Peres pada separuh masa pertama sebelum disamakan kedudukan menerusi tandukan Kim Likwan sepuluh minit selepas babak kedua bersambung.

Pemain tengah kebangsaan, Stuart Wilkin meletakkan Sabah di hadapan menerusi rembatan jarak jauh dan Ramon Machado menjadikan kedudukan selesa 3-1 buat The Rhinos mendahului.

Ad

Kelantan Darul Naik berjaya merapatkan kedudukan hasil tandukan Bae Kyeong-hwan ketika masa kecederaan namun jaringan itu tidak cukup untuk menafikan kemenangan buat pasukan pelawat.

Ad

Walaupun tewas, skuad bimbingan Park Jae-hong dilihat menerima pujian daripada para penyokong yang rata-rata kagum dan berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan.

Ad

Dengan pasukan yang dibarisi pemain tempatan dan import yang baharu, para peminat tetap menghambur pujian dan berharap segala aspek kelemahan berjaya diatasi bagi menghadapi perlawanan mendatang.

Nada yang sama turut diluahkan oleh bekas pemain Kelantan, Badhri Radzi yang melihat permainan yang mengagumkan ditunjukkan oleh pasukan Kelantan Darul Naim walaupun tidak berjaya meraih tiga mata di laman sendiri.

”Gagal mengutip tiga mata namun berjaya memenangi hati penyokong,” tulis Badhri Radzi atau lebih mesra disapa Piya di laman Facebook milik beliau.

Keputusan perlawanan malam tadi menyaksikan Kelantan Darul Naim kini menduduki tempat ke-11 liga tanpa sebarang mata setelah turut kecundang 0-1 di tangan Pahang dalam aksi pembukaan minggu lalu.

Perlawanan liga selepas ini, Kelantan Darul Naim akan beraksi dalam derbi Pantai Timur apabila dijadualkan berdepan Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada 24 Mei hadapan.